Jump to content


Photo
- - - - -

Buruh Paksa Jepun


  • Please log in to reply
2 replies to this topic

#1 Hang Li Po

Hang Li Po

    State Undersecretary (Shangshu Lang 尚书郎)

  • Master Scholar (Juren)
  • 677 posts
  • Gender:Female
  • Location:Cheras, Kuala Lumpur (Malaysia)
  • Languages spoken:Bahasa Melayu, English
  • Ethnic Groups or Race:Malaysian
  • Main Interest in CHF:
    Asian History
  • Specialisation / Expertise:
    Malai Ren, Malai Yun, Mo-lo-yu, Molo-yoou, Mali-yu-eul, Ma-lo-yu, Mo Lou Yu, Mo Lo Yu, Mo Lou Y, Mo Lou Yuu, Ma Li Yi Er, Ma La Yu, Wu Lai Yu & Wu Lai Yu, Malaysian History, Islamic History, Chinese Muslim History, Japanese Muslim History

Posted 17 May 2006 - 10:39 PM

Buruh paksa Jepun terima pampasan


Oleh ALIAS ISMAIL

KUALA BERANG 7 Mei - Kerajaan Jepun dijangka membayar pampasan kepada kira-kira 4,050 rakyat negara ini yang pernah menjadi buruh paksa membina landasan kereta api di Burma semasa Perang Dunia Kedua.

Presiden Persatuan Bekas dan Warisan Buruh Paksa Ke Burma 1942-1946, Wan Mamat Ngah berkata, jumlah pampasan itu melebihi RM1 juta.

``Jumlah pampasan tidak jauh berbeza dengan apa yang diterima oleh buruh paksa rakyat Filipina, beberapa tahun lalu.

``Kami hanya menunggu masa saja. InsyaAllah, pampasan itu akan dibayar oleh kerajaan Jepun tidak lama lagi.

``Bagaimanapun jumlah sebenar belum dapat ditentukan kerana ia bergantung kepada kerajaan kedua-dua negara,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebahagian daripada buruh paksa itu terdiri daripada Melayu sebanyak 60 peratus, India (20 peratus), Cina (15 peratus) dan kaum-kaum lain sebanyak lima peratus.

Menurut Wan Mamat, pihaknya mendapat maklumat berhubung perkara itu setelah berunding dengan kerajaan Jepun pada Disember tahun lalu dan mereka bersetuju untuk membayar pampasan berkenaan.

``Jika segala-galanya berjalan lancar, buruh paksa atau waris mereka dijangka mendapat durian runtuh hasil perjuangan persatuan ini,'' katanya.

Wan Mamat yang menerajui persatuan itu tiga tahun lalu berkata, rakyat negara ini antara yang paling ramai menjadi buruh paksa di kalangan 13 negara jajahan Jepun di rantau ini.

Selain rakyat negara ini, kata beliau, turut menjadi mangsa buruh paksa Jepun ialah rakyat Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, Laos, Taiwan, Indonesia, India, Sri Lanka, Brunei, Cina, dan Korea.

Didera

Sepanjang tempoh 1942 hingga 1946, menurut beliau, sebanyak 72,000 rakyat negara ini menjadi buruh paksa, namun hanya kira-kira 30,000 orang sahaja selamat pulang.

``Kira-kira 42,000 orang buruh paksa lagi yang kebanyakannya berusia awal dua puluhan dan sesetengah berusia belasan tahun hilang dipercayai mati di sana.

``Sungguhpun rakyat Myanmar paling banyak menjadi buruh paksa iaitu 90,000, namun yang meninggal dunia ialah 40,000 berbanding rakyat kita 42,000 orang.

``Buruh paksa tidak dibayar gaji. Makan minum mereka amat menyedihkan dan ada yang didera jika Jepun tidak puas dengan kerja mereka,'' katanya.

Menurut beliau, sepanjang lebih empat tahun itu, buruh-buruh paksa diminta membina landasan kereta api sepanjang 415 kilometer dari Stesen Tha Rua Noi ke Stesen Thanbyuzayat.

Katanya, untuk menyiapkan landasan yang merangkumi 60 stesen itu, banyak buruh menderita dizalimi askar Jepun termasuk perut dipijak dan dipaksa minum air sabun.

``Kerajaan Jepun menyedari kesilapan itu dan sebab itu mereka mengundang kami berunding mengenai pampasan itu di Narita pada 7-11 Disember lalu.

``Ini kejayaan kepada persatuan ini yang berjuang tanpa henti dalam membela penderitaan lampau buruh paksa sejak ditubuhkan pada 5 Julai 1978,'' katanya.
TOO PHAT feat YASIN - ALHAMDULILLAH (ENGLISH VERSION)


#2 Hang Li Po

Hang Li Po

    State Undersecretary (Shangshu Lang 尚书郎)

  • Master Scholar (Juren)
  • 677 posts
  • Gender:Female
  • Location:Cheras, Kuala Lumpur (Malaysia)
  • Languages spoken:Bahasa Melayu, English
  • Ethnic Groups or Race:Malaysian
  • Main Interest in CHF:
    Asian History
  • Specialisation / Expertise:
    Malai Ren, Malai Yun, Mo-lo-yu, Molo-yoou, Mali-yu-eul, Ma-lo-yu, Mo Lou Yu, Mo Lo Yu, Mo Lou Y, Mo Lou Yuu, Ma Li Yi Er, Ma La Yu, Wu Lai Yu & Wu Lai Yu, Malaysian History, Islamic History, Chinese Muslim History, Japanese Muslim History

Posted 17 May 2006 - 10:42 PM

Pengalaman Pahit Jadi Buruh Paksa Jepun

August 30, 2003 10:59 AM

Oleh Md Nasir Rani

KOTA BAHARU, 30 Ogos (Bernama) Ahad ini, rakyat Malaysia akan menyambut Hari Kebangsaan yang ke 46 dan kehangatan kemeriahan ambang merdeka itu kini kian dirasai dengan pelbagai acara patriotik.

Bagi mereka yang pernah hidup di zaman penjajah sudah pasti sambutan
kemerdekaan negara itu amat besar ertinya sehinggakan ada yang menitiskan air
mata mengenang kisah silam.

Ini terutamanya mereka yang hidup di zaman Jepun iaitu pengalaman pahit
menjadi buruh paksa kepada tentera Jepun untuk membina landasan kereta api
maut di Thailand.

Malah sesetengahnya menganggap diri mereka bagaikan "mati hidup semula"
memikirkan penderitaan yang pernah dialami seperti seksaan, kerja teruk dan
serangan penyakit berjangkit.

Yaacob Awang Kecik, 78, ketika menceritakan pengalaman pahitnya kepada
Bernama di sini, berkata ketika dikerah bekerja menyiapkan landasan kereta
api itu, seseorang itu boleh rebah dan meninggal dunia manakala bagi mereka
yang tidak diserang penyakit akan diseksa dengan apa sahaja termasuk
senjata api.



PENGALAMAN PAHIT

Katanya setiap detik selama tiga tahun lapan bulan berada di bawah
cengkaman tentera Jepun itu penuh dengan penyeksaan fizikal dan mental.

Yaacob adalah antara ribuan pemuda yang dikerah sebagai buruh paksa
oleh tentera Jepun untuk membina landasan kereta api maut dari Nong Pladuk
di Kanchanaburi, Thailand ke Thanbyuzayat di Burma (kini Myanmar) sepanjang
415 kilometer pada 1942.

Beliau berkata sejarah hitam dalam hidupnya itu bermula dari rumahnya
di Kampung Surau, Pendek di sini pada satu malam, kira-kira pukul 8 malam
dalam tahun 1942 apabila beliau bersama 101 orang rakan bertolak ke
Palekbang, Tumpat menyeberangi Sungai Kelantan di Kota Baharu.

Kumpulannya terpaksa bermalam di stesen kereta api Palekbang sebelum
meneruskan perjalanan dengan kereta api ke Tanjung Mas, Narathiwat
keesokannya, katanya.

Di Palekbang, beliau membeli beberapa biji telur rebus untuk dijadikan
pengalas perut sepanjang perjalanan yang tidak pasti bila akan tiba ke
destinasi yang ditujui.



BEBERAPA HARI MENAIKI KERETA API

Kira-kira pukul 3 petang, kereta api yang dinaikinya bersama 101 orang
rakannya itu tiba di Tanjung Mas, Narathiwat, kira-kira 60 kilometer dari
Pekan Golok sebelum meneruskan perjalanan ke Haadyai, katanya.

Yaacob berkata ketika di Tanjung Mas, pegawai Jepun memberi beliau dua
bungkus nasi, sebungkus untuk makan tengahari dan sebungkus lagi
untuk makan malam.

Katanya berbekalkan dua bungkus nasi dan beberapa biji telur rebus
beliau meneruskan perjalanan sehingga ke Haadyai.

"Di Haadyai kumpulan kami bermalam selama dua malam sebelum meneruskan
perjalanan yang memakan masa beberapa hari untuk sampai di Nong Pladuk,
Kanchanaburi," katanya yang pada ketika itu terpaksa meninggalkan isterinya
yang sedang mengandung tiga bulan.

Katanya ketika di Haadyai kumpulan mereka tidak disediakan dengan
makanan sebaliknya mereka terpaksa berjimat dengan bekalan yang dibawa dari
rumah dan telur rebus yang dibeli.

Menurut Yaacob kira-kira tiga hari perjalanan, beliau dan kumpulannya
sampai di Nong Pladuk dalam keadaan lapar dan keletihan.

Untuk sampai ke lokasi yang ditetapkan, kumpulan mereka terpaksa
meredah hutan dan bukit dengan berjalan selama sembilan hari sembilan
malam.

Ketika dalam perjalanan itulah, ada di kalangan mereka yang
kebanyakannya berbangsa Melayu meninggal dunia akibat diserang penyakit, katanya.



DIKERAH TEBANG POKOK BULUH

Katanya apabila tiba di tempat bermulanya kerja pembinaan landasan
kereta api itu, kumpulannya dikerah menebang pokok-pokok buluh bagi
membina rumah panjang untuk dijadikan tempat tinggal.

Yaacob berkata kerja-kerja pembinaan rumah panjang itu memakan masa
seminggu untuk disiapkan dan setelah siap, kerja-kerja membina landasan
dimulakan dengan membersih kawasan yang mengambil masa kira-kira enam
bulan.

Katanya, mereka dikerah memulakan kerja-kerja pembinaan landasan kereta
api dengan menggunakan cangkul manakala bakul rotan digunakan untuk mengangkut
tanah dan batu.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu, sebanyak enam kali mereka berpindah dan
selama itu juga kerja-kerja mesti dilakukan sama ada dalam keadaan sihat
atau sebaliknya.

Seorang lagi buruh paksa, Daud Puteh, 78, dari Kampung Baru, Cherang
Hangus, Pasir Mas berkata pengalaman pahit yang turut dialaminya ketika
menjadi buruh paksa tentera Jepun amat menakutkan.

Beliau berkata pemergiannya adalah dengan rela hati kerana terpikat
dengan tawaran gaji yang lumayan yang diberitahu oleh ketua kampung, apatah
lagi ketika itu dia masih remaja.

Ketika dalam perjalanan ke Nong Pladuk, beliau ditempatkan dalam sebuah
gerabak kereta api yang penuh sesak dengan 50 orang rakan lain.



TERTIPU OLEH KETUA KAMPUNG

"Pada masa itulah saya sedar yang saya tertipu oleh ketua kampung dan
mulalah timbul rasa kesal. Bagaimanapun saya tidak boleh menarik balik
keputusan itu dan terpaksa teruskan perjalanan," katanya.

Daud berkata sepanjang perjalanan, kumpulannya tidak diberi makanan dan
minuman sebaliknya terpaksa mencari makanan sendiri dengan membeli atau
meminta daripada orang lain.

"Sebaik sahaja tiba di kawasan kerja, macam-macam perkara difikirkan
termasuk ingin melarikan diri daripada tekanan dan seksaan tentera Jepun,"
katanya.

Hanya setelah beberapa bulan bekerja, beliau berjaya melepaskan diri
dengan bantuan mandurnya, seorang rakyat Burma dan selepas seminggu
meninggalkan kawasan pembinaan melalui jalan berbukit dan hutan rimba
beliau sampai di Kampung Sungai Kwai berdekatan Bangkok.

"Di sana, saya menumpang di rumah penduduk kampung yang akhirnya saya
mengahwini seorang wanita di kampung itu dan mendapat seorang anak,"
katanya lagi sambil menambah bahawa hanya pada 1950, beliau dapat pulang ke
kampung halamannya dengan bantuan seorang rakan yang mencarinya.

Che Omar Che Lah, 78, dari Jalan Bayam di sini pula berkata beliau
bersama 200 orang rakannya menjadi buruh paksa tentera Jepun selepas
dipaksa oleh ketua kampung yang menerima arahan tentera Jepun membawa
mereka ke sana.



CUPING TELINGA DITINDEK

Beliau berkata sebelum bertolak dari Palekbang menuju ke Thailand,
setiap orang dilubangkan cuping telinga, disuntik dan dimasukkan ubat
melalui dubur.

Katanya suntikan itu bertujuan untuk menahan penyakit manakala ubat
yang dimasukkan melalui dubur adalah untuk menahan dari membuang air besar ketika
dalam perjalanan.

"Saya tidak tahu sebab apa cuping telinga saya ditebuk," katanya.

Dari Palekbang, Tumpat beliau menaiki kereta api ke Sungai Golok
sebelum meneruskan perjalanan ke Haadyai dan ke Nong Pladuk, Thailand.

Pengalaman melihat rakan-rakan mati ketika bekerja merupakan satu
insiden yang menakutkan, katanya.

Kepada generasi muda, kumpulan bekas buruh paksa yang ditemui itu
menasihatkan agar mereka dapat mempertahankan Kemerdekaan yang dikecapi ini dengan tidak
membiarkan minda dan gaya hidup mereka dijajah secara tidak disedari dalam
bentuk moden.

--BERNAMA

Ramai rakyat Kelantan terlibat bina landasan maut

Thursday, August 21 @ 18:50:42 MYT


KOTA BHARU, 21 Ogos (Hrkh) - Ramai rakyat dari negeri ini yang terlibat dengan pembinaan landasan kereta api maut di sempadan Thailand - Mynmar sekitar tahun 1942 - 1945.

Timbalan Menteri Besar, Dato' Abdul Halim Abdul Rahman berkata, hasil kajian pengkaji sejarah termasuk Muzium Negeri mendapati tidak kurang daripada 200 orang terlibat dengan pembinaan itu masih hidup sekarang.

"Kita bersyukur kerana ramai juga yang masih hidup sehingga hari ini," ujarnya ketika merasmi Pameran Mencintai Keamanan (Imbas Kembali Tragedi Buruh Paksa Landasan Kereta Api Maut 1942 - 1945) di Muzium Negeri, kelmarin.

Sempena majlis itu turut diadakan sesi bercerita oleh wakil Persatuan Buruh Paksa Pembinaan Jalan Kereta Api Maut Negeri Kelantan, Abdul Rahman Mat Ali.

Ribuan rakyat dari Asia termasuk tahanan perang yang maut semasa membina landasan kereta api itu.

Abdul Halim juga meminta rakyat di negara ini bersyukur dengan keamanan yang dicapai sekarang, berbanding sebelum merdeka khususnya di zaman penjajahan Jepun.

Katanya, pelbagai keperitan hidup dialami oleh mereka yang hidup di zaman tersebut. "Namun sekarang kita berada dalam situasi yang selesa jauh berbanding sebelum ini," ujarnya.

Bagaimanapun beliau mengingatkan umat Islam perlu membuat persiapan bagi menghadapi kemungkinan diceroboh oleh musuh yang datang dalam pelbagai bentuk.

Pengerusi Perbadanan Muzium Negeri, Haji Takiyuddin Hassan berkata, pameran julung kali itu diadakan bermula 10 Ogos hingga 10 Oktober bertempat Muzium Negeri.

Setiap pengunjung dikenakan tiket sebanyak RM1 dan 50 sen. Pameran itu dibuka dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

"Hasil kutipan tiket ini sebenarnya untuk diberikan kepada Persatuan Buruh Paksa Landasan Kereta Api Maut sebagai usaha untuk membantu meringankan masalah yang mereka hadapi," ujarnya.

Sebuah buku yang bertajuk 'Buruh Paksa Landasan Kereta Api Maut Thailand - Burma 1942 - 1945' yang ditulis Dato' Salleh Mohd Akib dilancar sempena pameran tersebut.

Sebanyak enam bab dimuatkan dalam buku berkenaan hasil kajian rombongan dari Kelantan yang berkunjung ke lokasi landasan maut itu sebelum ini. - SMH/mj
TOO PHAT feat YASIN - ALHAMDULILLAH (ENGLISH VERSION)


#3 G3-X

G3-X

    Prefect (Taishou 太守)

  • CHF Rookie Member
  • 21 posts

Posted 02 April 2007 - 01:35 AM

adakah mereka mendapat pampasan dari Jepun ?




1 user(s) are reading this topic

0 members, 1 guests, 0 anonymous users